Dayak di maya siber melalui RP.com (Utusan Sarawak Julai 2005)

Dayak di maya siber melalui RP.com (Utusan Sarawak Julai 2005)

Sebuah majlis untuk meraikan sambutan ulang tahun kedua penubuhan laman web http://www.rumahpanjai.com telah diadakan di Hotel Telang Usan, Kuching bermula jam 8 malam pada 7 Julai lalu.

Majlis berkenaan yang juga diadakan bersempena dengan perayaan Gawai Dayak 2005 disamping meraikan sambutan ulang tahun kedua laman web Dayak tersebut atau lebih dikenali umum sebagai RP.com ini telah dihadiri lebih daripada 100 ahli dan bukan ahli yang datang daripada kawasan dalam dan luar negeri.

Wakil Pengerusi sambutan Majlis Gempuru Gawai Dayak Rumahpanjai.com 2005 merangkap Majlis sambutan ulang tahun Kedua Penubuhan RP.com Robinson Unau berkata bahawa tujuan utama penubuhan laman web berkenaan ialah untuk menyatukan kesemua pengguna internet Dayak yang terdapat di serata dunia.

Jelas beliau, penubuhan laman web berkenaan telah membolehkan kesemua pengguna internet Dayak termasuk mereka yang masih belajar dan juga sudah bekerja untuk berkongsi pelbagai maklumat termasuk dari segi pembelajaran, buah fikiran, sosial dan ekonomi.

Selain itu katanya, penubuhan laman web RP.com ini sekali gus membolehkan mereka mencari para ahli atau bukan ahli yang boleh membantu pihaknya dalam merancang perlaksanaan pelbagai program di masa akan dating.

Robinson melalui ucapannya pada majlis terbabit menjelaskan bahawa perlaksanaan program yang sedang dirancang ini termasuklah penganjuran kem motivasi pelajar, program pengenalan pendedahan asas penggunaan computer di rumah panjang dan pelbagai lagi.

“Melaksanakan aktiviti seumpama ini merupakan salah satu daripada visi utama penubuhan laman web http://www.rumahpanjai.com dan pihak kami berhasrat untuk mencari mana-mana pengguna internet Dayak yang mampu menyumbang ke arah rancangan tersebut.

“Justeru itu pihak kami berharap agar dapat melaksanakan pelbagai program yang mampu mendatangkan manfaat dari segi bidang akademik, social, ekonomi dan pengetahuan dalam penggunaan internet”. Katanya.

Hadir sama, dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Eksekutif Sulit kepada Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang iaitu Richard Lon, Pengerusi Pergerakan Pemuda Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Anthony Banyan dan Pengarah Pengurusan Prime Mover Campbell Apau.

Di sampin itu, majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa orang artis rakaman tempatan dan juga juruhebah Cats.fm termasuk Ernesto, Jerry Kamit, Wilbert Kamit, Peter John, Linda Simai, Mathew abu, Rubby, Ema dan ramai lagi.

Sambutan ulangtahun kedua penubuhan laman web http://www.rumahpanjai.com ini ternyata telah membuktikan kepada para pengguna internet bahawa laman web berkenaan mampu bertahan di dalam dunia IT (Teknologi Maklumat) setelah menghadapi pelbagai rintangan mahupun masalah sebelum ini.

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang asal usul penubuhan laman web ini. Sejarah penubuhan RP.com bermula di Pulau Pinang pada 25 Mei 2003 apabila seorang kakitangan kerajaan iaitu Oswald mengambil alih pengendalian laman web terbabit daripada seorang rakannya.

Dengan menggunakan duit pembelanjaannya sendiri, Oswald telah berjaya mengangkat laman web berkenaan ke peringkat yang lebih tinggi sehingga jumlah ahli berdaftarnya pernah mencapai 1350 pengguna internet yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Dayak.

Walau bagaimanapun masalah teknikal dan penggodam yang sering melanda laman web ini menjelang awal tahun 2005 telah menyebabkan RP.com terpaksa diperbaiki dan diubahsuai untuk beberapa kali sehingga menyebabkan jumlah ahli berdaftarnya berkurangan daripada jumlah asal.

Namun masalah berkenaan tidak mematahkan usaha Oswald untuk memperkenalkan RP.com ke dunia internet dengan lebih meluas.

Kini dengan bantuan dua pengendali barunya iaitu James Joshua Guang dan TuaiKayau (nama samaran), RP.com masih mampu berdiri teguh dalam menghadapi cabaran dunia IT masa kini. Malah pembiayaan laman web berkenaan kini mendapat sumbangan daripada orang ahli berdaftar laman web terbabit.

RP.com ternyata berupaya menarik perhatian ramai pengguna internet kaum Dayak yang merangkumi golongan penuntut dan para pekerja kerajaan mahupun swasta yang pada masa sekarang sedang berada di serata dunia.

Semenjak ianya mengalami masalah teknikal pada akhir tahun 2004, RP.com kini mampu berdiri semula menerusi penyertaan berdaftar seramai 840 orang pengguna internet Dayak dan lain-lain kaum sehingga masa kini.

Selain daripada tujuan yang telah dinyatakan oleh Robinson, RP.com telah berfungsi sebagai sebuah laman web yang mampu mengeratkan lagi hubungan di antara para pengguna internet kaum Dayak di samping mewujudkan ruang perkenalan dikalangan diri masing-masing.

Menerusi kewujudan laman web berkenaan, para pengguna kuam Dayak diserata dunia berupaya untuk mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat dan secara langsung telah mewujudkan satu bentuk ruang komunikasi secara menyeluruh di kalangan mereka.

Dengan menjadikan Bahasa Iban sebagai bahasa penghantar utama dalam laman web RP.com, para pengguna telah mendapati bahawa laman web ini menjadi pilihan utama sekiranya mereka berhasrat untuk melayari internet.

Cara komunikasi RP.com adalah berbentuk forum. Para pengguna yang berhasrat untuk menyertai forum dalam laman web berkenaan hanya perlu mendaftarkan diri dengan menggunakan nama gelaran sendiri secara percuma. Sekiranya sudah berdaftar maka anda akan dianggan sebagai Raban dan Temuai bagi mereka yang tidak mendaftarkan diri.

Melalui pendaftaran ini, para Raban layak untuk menggunakan beberapa jenis kemudahan yang disediakan dalam laman web berkenaan termasuk kemudahan e-card, ruang album peribadi dan juga mesej persendirian.

Malahan para raban berpeluang untuk mengenali para rakannya yang lain melalui ruangan avatar yang disediakan. Menerusi laman web ini, para pengguna menerusi Raban dibenarkan untuk berbicara dalam pelbagai kategori ruangan yang disediakan termasuk ruangan Bujang Dara, Randau Terbuka (Perbincangan Terbuka), Motivasi, Jako Iban (Bahasa Iban), Pengarap (Keagamaan), Laman Berita, Jako Pesan dan sebagainya.

Namun kelancaran perbincangan dalam forum RP.com sentiasa diawasi oleh pihak TuaiRumah (Oswald), TuaiKayau dan Uchu Keling (Joshua) dengan bantuan 17 orang moderator yang dilantik di kalangan para ahli Rabannya.

Kesemua mereka ini berkuasa untuk menyingkirkan atau mengunci mana-mana topik yang didapati boleh menimbulkan sensitivity serta pergaduhan dikalangan para Raban. Walaubagaimanapun TuaiRumah, TuaiKayau dan UchuKeling mempunyai kuasa untuk membatalkan keahlian seseorang Raban atas sebab tertentu.

RP.com pada musim tahun 2003/2004 amat terkenal dengan para rabannya yang menggunakan geleran tersendiri. Mereka ini boleh dianggap terkenal berdasarkan kepada identity, gaya penampilan diri dan tahap kekerapan masing-masing dalam menyertai perbincangan forum menerusi laman web terbabit.

Para Raban ini termasuklah Senselles, Sempurai, Di 85, Pipitmanchal, DaraSarawak, Selen, Tommy Jaya, Kumang Lubuk Antu, Saloi, Akik Blues, Amy, AiE, Christina Richard, Numpang, Endumit, DaraSaribas, Penghulu Ribung ari Sebayan, Loius Mareng, V-sanata, Ellviss Vit, Kaban Apai, steady aku dan Ray.

Namun RP.com bagi musim 2005 ini telah membariskan ramai muka baru yang mula popular termasuk Stocklhom Syndrome, 007, Tuan Lokong, Endun-Endun Mit, Cynthia Beatrice, betZ, WanAze, antu pala, apaiserani, anne avady, nasty, bujang jegak, srx, dara borneo, Maclyn, Fearnight dan Dara spak.

Itulah sedikit sebanyak kisah tentang laman web RP.com yang mampu penulis huraikan di sini. Pada 12 Julai tahun 2004, laman web RP.com telah menganjurkan sebuah majlis untuk meraikan sambutan ulang tahun pertama penubuhan laman web berkenaan dikalangan para ahlinya.

Majlis untuk meraikan sambutan ulangtahun pertama laman web berkenaan yang diadakan di Hotel Riverside Kuching telah dihadiri lebih daripada 100 orang raban RP.com dan bukan raban.

Bagi para pengguna internet Dayak yang belum lagi mengenali laman web ini maka inilah peluangnya bagi mereka untuk berkenalan lebih rapat bersama para Raban dengan menyertai RP.com.

Daftarkanlah diri anda. Jika anda orang baru maka akan diperkenalkan dengan beberapa orang Raban yang amat aktif dengan melayari RP.com dengan menggunakan gelaran nama tersendiri.

Selamat melayari laman web RP.com. Semoga para penggemar internet yang lain berjaya beroleh kepuasan dengan menyertai diri masing-masing sebagai Raban di dalam laman web berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

E-komuniti Dayak melalui RP.com (Utusan Sarawak 14 July 2004)

www.rumahpanjai.com jaringan komunikasi kaum Dayak (Utusan Sarawak 29 Disember 2005)