E-komuniti Dayak melalui RP.com (Utusan Sarawak 14 July 2004)

E-komuniti Dayak melalui RP.com (Utusan Sarawak 14 July 2004)

Melayari Internet merupakan salah sebuah daripada aktiviti masa lapang setiap individu semenjak dunia diperkenalkan dengan teknologi sedemikian pada pertengahan 1990-an.

Kewujudan teknologi internet ini dianggap penting kerana ia menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan maklumat serta pengetahuan terkini kepada setiap pengguna menerusi kewujudan pelbagai laman web sedia ada.

Selain itu, teknologi internet juga telah memudahkan setiap para pengguna untuk berkomunikasi dengan lebih mudah dan senang antara satu sama yang lain tidak kira di mana mereka berada menerusi kewujudan mel elektronik (e-mel) seperti yang telah ditawarkan oleh laman web Yahoo!, Hotmail dan sebagainya.

Malah, tidak dapat dinafikan pihak tertentu yang memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat ini dengan mewujudkan sebuah laman web perkumpulan atau ruangan perkenalan di kalangan para penggunanya.

Dengan kata lain teknologi internet secara tidak langsung telah menjadikan jarak perhubungan antara pengguna dari seluruh dunia menjadi semakin dekat di samping mendatangkan manfaat kepada diri mereka.

Apabila bercerita tentang penubuhan laman web berkumpulan sudah pasti sekali ada antara para pembaca yang pernah melayari beberapa laman web seperti e-kawan untuk mencari kenalan baru dan sebagainya.

Namun pada ruangan ini, penulis ingin menceritakan sebuah laman web yang ditubuhkan khas untuk mengumpul pengguna atau penggemar internet yang terdiri daripada kaum Dayak di seluruh dunia.

Laman web yang penulis maksudkan di sini ialah http://www.rumahpanjai.com salah sebuah laman web yang terkenal di kalangan pengguna internat kaum Dayak sekarang.

Laman web tersebut yang lebih dikenali dengan gelaran “RP.com” sehingga kini berjaya menarik penyertaan lebih 1,350 pengguna internet yang terdiri daripada kaum Dayak di seluruh dunia.

RP.com ini berupaya menarik perhatian ramai pengguna internet kaum Dayak yang merangkumi golongan penuntut dan pekerja kerajaan mahupun swasta yang pada masa sekarang sedang berada di serata dunia.

Laman web tersebut telah ditubuhkan buat pertama kalinya di Pulau Pinang pada 25 Mei 2003 dan kini dikendalikan oleh seorang kakitangan kerajaan bernama Oswald.

RP.com telah berfungsi sebagai sebuah laman web yang mampu mengeratkan lagi hubungan antara para pengguna internet kaum Dayak disamping mewujudkan ruang perkenalan di kalangan diri masing-masing.

Menerusi kewujudan laman web berkenaan, para pengguna kaum Dayak di serata dunia berupaya berkenalan dan secara langsung telah mewujudkan satu bentuk ruang komunikasi secara menyeluruh di kalagan mereka.

Dengan menjadikan Bahasa Iban sebagai bahasa penghantar utama dalam laman web RP.com, para pengguna telah menadapati laman web ini menjadi pilihan utama sekiranya mereka berhasrat melayari internet.

Apakah keistimewaan laman web RP.com? Pada pandangan penulis keistimewaan laman web ini ialah para pengguna berkesempatan berbicara secara lebih terbuka dan lebih selesa berbanding kemudahan chatting yang ditawarkan oleh Mirc32.

Menerusi RP.com, para penggunanya berkesempatan berbicara sambil melihat identity atau rupa para kenalannya yang lain menerusi ruangan avatar gambar yang diwujudkan bagi membolehkan mereka meletakkan gambar bagi melambangkan identity masing-masing.

Sekiranya berhasrat untuk mencari kenalan baru menerusi laman web RP.com, para pengguna perlu mendaftar diri memandangkan tanpa berbuat demikian anda hanya akan mampu “memandang” tetapi tidak akan dapat menyertai setiap aktiviti perbualan yang berlaku dalam laman web tersebut.

Pengguna internet yang telah mendaftarkan diri mereka ke dalam laman web ini akan digelar sebagai “Raban” (Ahli) manakala mereka yang tidak berbuat demikian hanya akan dikenali sebagai “Temuai” (Tetamu).

Sebagai Raban, para pengguna akan berpeluang untuk menyertai pelbagai topic yang telah disediakan oleh “TuaiRumah” iaitu gelaran bagi individu yang paling berkuasa di dalam laman web tersebut.

Dalam laman web ini, para pengguna menerusi gelaran Raban dibenarkan untuk berbicara dalam setiap kategori ruangan yang telah disediakan termasuk ruangan “Bujang Dara”, “Randau Terbuka” (Perbincangan Terbuka), Motivasi, Jako Iban (Bahasa Iban), Pengarap (Keagamaan), Politik dan sebagainya.

Sekiranya para pengguna tidak mendaftarkan diri, merekan akan kekal sebagai status “Temuai” dan menerusi status ini mereka hanya mampu untuk melihat setiap topic yang disediakan namun tidak berupaya menyertai sesebuah topik yang sedang dibicarakan.

Sila ambil perhatian bahawa bayaran wang tidak diperlukan sekiranya pengguna internet berhasrat mendaftarkan diri masing-masing ke dalam RP.com. Pendaftaran adalah percuma.

Selain itu, laman web RP.com juga menawarkan beberapa buah kemudahan antaranya ialah ruangan “Chat Box”, Mesej Peribadi (Private Message) dan Electronic Cards (E-cards) bagi tujuan kesenangan para Raban.

Kemudian Chat Box contohnya mempunyai fungsi yang hamper sama dengan perisian Mirc32. Melalui ruangan Chat Box, para Raban berpeluang untuk “berbual secara lebih terbuka” di kalangan masing-masing.

Manakala E-cards pula adalah merupakan sebuah kemudahan untuk para raban mengirimkan khabar berita dalam bentuk poskad kepada para Raban mereka yang lain menerusi laman web tersebut.

Untuk menjadikan laman web RP.com sebagai sebuah laman web yang sentiasa terjaga serta berjalan dengan lancer, TuaiRumah selaku “ketua utama” dalam laman web terbabit telah melantik seramai 16 pembantu atau lebih dikenali sebagai “Moderator” yang terdiri daripada Raban laman web tersebut.

Enam belas moderator ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu “Moderator Dipebasa” (Moderator Kehormat) dan “Moderator Bujang Dara”

Kesemua mereka ini diberi kuasa untuk menyingkirkan mana-mana topik yang didapati boleh menimbulkan sensitiviti serta pergaduhan di kalangan para Raban. Para moderator juga berkuasa mengunci topik anda atau membuang sesebuah topik berkenaan sama sekali.

Moderator Dipebasa diberikan kuasa untuk mengendalikan sejumlah 19 Ruangan perbincangan manakala Moderator Bujang Dara pula diberikan kuasa untuk mengendalikan lima buah ruangan perbincangan yang lain.

Dengan kata lain anda selaku ahli berdaftar atau Raban laman web berkenaan tidak akan dibenarkan menyiarkan apa-apa topik yang boleh menimbulkan sensitivity atau yang mampu menimbulkan perkelahian di kalangan raban lain secara sambil lewa atau sengaja.

Itulah keistimewaan laman web berkenaan yang mampu penulis huraikan di sini. Pada 12 Jun lalu, laman web RP.com telah menganjurkan sebuah majlis untuk meraikan sambutan ulang tahun pertama penubuhan laman web berkenaan di kalangan ahlinya.

Majlis untuk meraikan sambutan ulang tahun pertama laman web berkenaan yang diadakan di Hotel Kuching Park telah dihadiri lebih daripada 100 orang Raban RP.com dan bukan raban.

Ini secara tidak langsung telah membuktikan kejayaan penubuhan laman web RP.com di kalangan pengguna internet yang terdiri daripada kaum Dayak tanpa mengira status diri masing-masing.

Bagi para pengemar internet kaum Dayak yang belum lagi mengenali laman web ini, maka inilah peluangnya bagi mereka untuk berkenalan lebih rapat bersama para Raban dengan menyertai RP.com.

Daftarkanlah diri anda. Jika anda “orang baru” maka akan diperkenalkan dengan beberapa Raban yang amat aktif dengan melayari RP.com dengan menggunakan gelaran nama tersendiri.

Gunakan peluang ini untuk berkenalan dengan mereka antaranya ialah Senselles, Sempurai, Di^85, DaraSarawak, Tommy Jaya, Marshal Mac, Saloi, Akik_Blues, Amy, AiE, Iban Warrior, Christina Richard, Tito Lunta, Endumit, Melissa, Penghulu Ribung ari Sebayan, Louis Mareng, V-Sanata, Ellviss_Vit, Kaban Apai, Ray dan ramai lagi.

Selamat melayari laman web RP.com, semoga para penggemar internet yang lain berjaya beroleh kepuasan dengan menyertai diri masing-masing sebagai Raban di dalam laman web berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

Dayak di maya siber melalui RP.com (Utusan Sarawak Julai 2005)

www.rumahpanjai.com jaringan komunikasi kaum Dayak (Utusan Sarawak 29 Disember 2005)